Pages

Selasa, 11 Oktober 2016

Perginya nenek tersayang (bahagian 2)

Teks: Norazrin Mohd Nor

Tiba dirumah tepat jam 1 pagi. Angkat anak-anak dan terus tidur. Badan terasa penat dan letih.

Tepat jam 5.30 pagi,Izzah merengek nak susu. Dalam masa yang sama perasan telefon bimbit bergetar. Tengok telefon, mak yang hubungi. Hati dah mula tak sedap.

Mak: Assalamualaikum. Dah tau kan?
Saya: Waalaikumussalam. Kenapa mak? Nenek macamana?
Mak: Nenek dah takde. Pukul 2 lebih tadi.
Saya: Allahu akbar.Innalillahi wa inna ilaihi raaji'un.

Tak tergambar betapa sedihnya masa tu sebab saya masih mengharap nenek sembuh. Nak bawa nenek balik kampung.


Suami dah termenung sebab dia kena handle program hari tu. Satu je yang saya cakap "Izinkan saya melawat nenek. Buat kali terakhir"

Walaupun saya tahu badan masih letih. Keinginan untuk tatap wajah nenek buat kali terakhir cukup kuat.

Selesai mandi dan solat subuh. Saya terus memandu ke Melaka, bawa kaklang dan anak-anaknya menemani sepanjang perjalanan. Alhamdulillah, suami suruh bawa keretanya sebab baru servis. Lagipun perjalanan jauh.

Baru sampai Nilai dalam pukul 8.30 pagi,emak telefon beritahu uda akan kebumikan nenek secepat mungkin. Allahu akbar. Rasa nak terbang agar segera sampai.

Segera capai telefon bimbit, buka aplikasi waze. Saya memandu dan kaklang baca arah. Jam menunjukkan pukul 9 pagi. Kotaraya Kuala Lumpur semakin dipenuhi dengan kenderaan. Mulut tidak berhenti berdoa agar Allah permudahkan laluan dan perjalanan.

Hidir khabarkan jenazah nenek siap dikafankan. Rasa nak menangis pandu kereta. Terus berdoa agar Allah pendekkan jarak bumi agar saya segera sampai.

Alhamdulillah, akhirnya sampai di perkarangan Masjid Nurul Iman, Serendah. Tiba sahaja di sana, jenazah nenek dibawa masuk untuk disolatkan. Alhamdulillah, ramai murid tahfiz hadir untuk tunaikan solat jenazah. Memang rezeki nenek. Lebih 40 orang yang tunaikan solat jenazah.

Hati berlagu pilu bila tak dapat cium wajah dan peluk nenek buat kali terakhir. Saya dan kaklang masih merayu untuk lihat wajah nenek. Namun kata mereka, dah buat simpul bunga. Dekat liang lahad nanti akan dibuka, lihat masa tu kata insan yang uruskan jenazah nenek.

Bila jenazah nenek diangkat dan dimasukkan ke liang lahad. Insan tersebut terus tuding jari ke arah saya dan kaklang. Nak tengokkan? katanya.

Uda buka ikatan dan itulah kali terakhir wajah nenek ditatap. Sedih, sayu, hiba. Kain tudung jadi peneman setia sebab air mata keluar laju. 2,3 kali saya ditegur jangan menangis.

Selesai talkin dibacakan, hati diruntun pilu. Allahu akbar. Moga nenek damai di sana. Ya Allah, jadikan kubur nenek sebahagian dari taman syurga. Jauhkan nenek dari azab kubur.

Kami semua ke rumah ateh di Serendah. Bila lihat katil nenek. Lagi sekali jiwa rasa kosong.

Nenek, tiap butir bicara terkandung hikmah. Walau jarang bersua, hati tetap rindu dan sayang sangat pada nenek. Biar apa orang nak kata, hanya kita yang tahu ikatan itu.
Catat Ulasan