Pages

Selasa, 18 Oktober 2016

Iffah luka lagi

Teks: Norazrin Mohd Nor

Lewat petang ke pasaraya Green Apple.

Setelah membeli keperluan yang diperlukan, kami segera beredar untuk pulang.

Semasa suami membuka pintu kereta, entah macam mana Iffah terjatuh. Kepala dia betul-betul terhentak dibucu kereta. Bila dia bangun, darah mengallir di keningnya. Allahu akbar. Telinga belum baik, kening pula luka. Sian anak ummi ni.

Saya macam biasa la kalut sikit. Segera suruh suami ke klinik. Suami tenang je ballik rumah. Katanya bersihkan dulu darah tu.

Iffah minta masuk buai. Mengantuk rupanya. Masuk je buai, terus tidur.

Masih lagi bersihkan darah yang mengalir. Darah masih keluar walaupun dah dilap berkali-kali. Akhirnya ambil keputusan ke klinik.

Suami bertegas minta digam sahaja luka tu. Doktor cakap lukanya dalam. Itu pun menangis meraung macam apa tah.

Selesai di klinik, belikan aiskrim buat Iffah.

Isnin, 17 Oktober 2016

Telinga Iffah Luka (Bahagian 2)

Teks: Norazrin Mohd Nor

Pagi ni ke sekolah dulu. Hadiri acara perhimpunan rasmi. Jadual hari ni, 8.00- 8.30 pagi. Isi borang untuk keluar ke hospital atas urusan Iffah.

Alhamdulillah, tiba ke hospital jam 8.50pagi. Namun penuh dengan kereta. Mana nak parking kereta ni?

Sedang leka pusing sana, pusing sini ternampak seorang jururawat masuk ke dalam kereta. Alhamdulillah dapat parking. Namun, jururawat tersebut tidak beredar. Allahu akbar.

Sambil menunggu jururawat tersebut beredar, datang kereta lain dari arah depan. Saya lihat semula kedudukan kereta saya. Saya di jalan yang betul. Kereta tersebut yang melawan arah. Pemandu tersebut menunjukkan muka marah agar saya berundur ke belakang. Saya menyalakan signal dari tadi. Mustahil kereta tersebut tak nampak.

Akhirnya Allah hadirkan seorang insan yang membantu. Syukur alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Saya ke bahagian ENT. Setelah menunggu hampir 1 jam, Iffah diperiksa dan doktor pakar juga tidak dapat bagi kata putus apa yang berlaku pada telinga Iffah. Ubat diberi dan tarikh temujanji ditetapkan.

Allahu akbar. Peliharalah anak kecilku ini.

Sabtu, 15 Oktober 2016

Telinga Iffah luka

Teks: Norazrin Mohd Nor

Pagi Sabtu, kami sekeluarga bersarapan mee goreng. Seronok tengok anak-anak makan.

Berehat sebentar dan suami ajak keluar, bawa anak jalan-jalan.

Tengahari balik ke rumah.

Sedang berehat dan meluruskan badan tiba-tiba Iffah masuk bilik dan menangis sambil pegang telinga.

Segera tengok Iffah yang tutup telinga. Bila angkat tangannya yang tutup telinga, darah memenuhi telinga tersebut. Allahu akbar.

Terus bersiap dan bawa Iffah ke hospital. Doktor tak dapat kesan apayang berlaku sebab darah memenuhi telinga. Doktor suruh datang ke hospital esok untuk jumpa doktor pakar telinga pula.

Moga Allah lindungimu wahai anakku Iffah Nabeehah

Selasa, 11 Oktober 2016

Perginya nenek tersayang (bahagian 2)

Teks: Norazrin Mohd Nor

Tiba dirumah tepat jam 1 pagi. Angkat anak-anak dan terus tidur. Badan terasa penat dan letih.

Tepat jam 5.30 pagi,Izzah merengek nak susu. Dalam masa yang sama perasan telefon bimbit bergetar. Tengok telefon, mak yang hubungi. Hati dah mula tak sedap.

Mak: Assalamualaikum. Dah tau kan?
Saya: Waalaikumussalam. Kenapa mak? Nenek macamana?
Mak: Nenek dah takde. Pukul 2 lebih tadi.
Saya: Allahu akbar.Innalillahi wa inna ilaihi raaji'un.

Tak tergambar betapa sedihnya masa tu sebab saya masih mengharap nenek sembuh. Nak bawa nenek balik kampung.


Suami dah termenung sebab dia kena handle program hari tu. Satu je yang saya cakap "Izinkan saya melawat nenek. Buat kali terakhir"

Walaupun saya tahu badan masih letih. Keinginan untuk tatap wajah nenek buat kali terakhir cukup kuat.

Selesai mandi dan solat subuh. Saya terus memandu ke Melaka, bawa kaklang dan anak-anaknya menemani sepanjang perjalanan. Alhamdulillah, suami suruh bawa keretanya sebab baru servis. Lagipun perjalanan jauh.

Baru sampai Nilai dalam pukul 8.30 pagi,emak telefon beritahu uda akan kebumikan nenek secepat mungkin. Allahu akbar. Rasa nak terbang agar segera sampai.

Segera capai telefon bimbit, buka aplikasi waze. Saya memandu dan kaklang baca arah. Jam menunjukkan pukul 9 pagi. Kotaraya Kuala Lumpur semakin dipenuhi dengan kenderaan. Mulut tidak berhenti berdoa agar Allah permudahkan laluan dan perjalanan.

Hidir khabarkan jenazah nenek siap dikafankan. Rasa nak menangis pandu kereta. Terus berdoa agar Allah pendekkan jarak bumi agar saya segera sampai.

Alhamdulillah, akhirnya sampai di perkarangan Masjid Nurul Iman, Serendah. Tiba sahaja di sana, jenazah nenek dibawa masuk untuk disolatkan. Alhamdulillah, ramai murid tahfiz hadir untuk tunaikan solat jenazah. Memang rezeki nenek. Lebih 40 orang yang tunaikan solat jenazah.

Hati berlagu pilu bila tak dapat cium wajah dan peluk nenek buat kali terakhir. Saya dan kaklang masih merayu untuk lihat wajah nenek. Namun kata mereka, dah buat simpul bunga. Dekat liang lahad nanti akan dibuka, lihat masa tu kata insan yang uruskan jenazah nenek.

Bila jenazah nenek diangkat dan dimasukkan ke liang lahad. Insan tersebut terus tuding jari ke arah saya dan kaklang. Nak tengokkan? katanya.

Uda buka ikatan dan itulah kali terakhir wajah nenek ditatap. Sedih, sayu, hiba. Kain tudung jadi peneman setia sebab air mata keluar laju. 2,3 kali saya ditegur jangan menangis.

Selesai talkin dibacakan, hati diruntun pilu. Allahu akbar. Moga nenek damai di sana. Ya Allah, jadikan kubur nenek sebahagian dari taman syurga. Jauhkan nenek dari azab kubur.

Kami semua ke rumah ateh di Serendah. Bila lihat katil nenek. Lagi sekali jiwa rasa kosong.

Nenek, tiap butir bicara terkandung hikmah. Walau jarang bersua, hati tetap rindu dan sayang sangat pada nenek. Biar apa orang nak kata, hanya kita yang tahu ikatan itu.

Ahad, 9 Oktober 2016

Perginya nenek tersayang (bahagian 1)

Hari selasa, saya dan suami bergegas ke Hospital Kuala Kubu Bharu sebaik sahaja balik dari kerja. Kami dikhabarkan nenek sudah 3hari tak makan. Badan nenek begitu lesu dan tidak bermaya.

Kakngah beritahu nenek dimasukkan ke icu.

Sebelum ni, nenek telah masuk wad. Satu malam nenek di wad, nenek dibenarkan keluar.

Melalui gambar yang saya terima, nenek memang nampak sangat lemah.

Hati meronta-ronta agar segera sampai ke destinasi. Dalam perjalanan, kakngah khabarkan nenek dah masuk ke wad biasa. Alhamdulillah.

Sungguh jauh perjalanan sehingga isyah tanya bila nak sampai. Jauh sangat ke tempat yang kita nak pergi ni. Hmm..

Lewat pukul 6petang, alhamdulillah kami tiba di kawasan hospital. Kami segera bergegas ke wad 1 dimana nenek ditempatkan.

Segera salam emak, atuk dan semua yang ada. Tanpa membuang masa, bacakan surah yasin. Saya duduk dihujung kaki nenek. Atuk bagi ruang untuk saya duduk di situ.

Laju air mata ni mengalir semasa membacakan surah yasin. Sambil baca, sambil memicit kaki nenek. Abang dan kaklang berdiri di sebelah kiri dan kanan nenek sambil tuam kepala nenek. Nenek demam.

Masa cukup mencemburui kami. Jam menunjukkan hampir pukul 7. Waktu melawat makin hampir.

Saya dan kaklang cium nenek berkali-kali. Bisikkan agar nenek segera sembuh. Kami bawa balik kampung. Kaklang mohon maaf bagi pihak kami adik beradik. Sebelum keluar kami selimutkan kaki nenek. Sejuk barangkali bila menjelang malam nanti.

Kami solat maghrib di surau hospital. Hati masih terus berdoa agar nenek segera sihat.

Perjalanan kami masih jauh, esok perlu bekerja seperti biasa. Kami tinggalkan perkarangan hospital dengan hati yang sayu dan terus berdoa agar nenek cepat sembuh.


Selasa, 4 Oktober 2016

Moga nenek tenang di sana

Teks: Norazrin Mohd Nor 

Kami ke Hospital Kuala Kubu Bharu ziarah nenek. Ateh kata nenek dah 3hari tak nak makan nasi. Nenek segera dibawa ke hospital menaiki ambulan.

Entah kenapa hati tak keruan. Akhirnya nenek pergi jua. Tak sempat mak nak bawa nenek balik kampung. Nak jaga nenek dan atuk.

Sebak bila lihat atuk. Setiap kali terkenangkan nenek, pasti air mata ni jatuh berderai.