Pages

Sabtu, 4 April 2015

Kelahiran Pertama

Teks : Norazrin binti Mohd Nor
Foto : Simpanan peribadi

Bismillaahirrahmaanirrahim...
Pada tarikh 4.4.2011. Saya ingin bersiap untuk ke MTQ peringkat zon. Terasa air keluar dengan laju. Saya lihat cadar basah. Saya semakin kalut bila saya bangun, sekali lagi air meluncur laju. Saya hanya menghantar pesanan ringkas kepada ketua panitia dan memberitahu kemungkinan saya tidak dapat menghadirkan diri ke MTQ tersebut. Memandangkan ini pertama kali saya akan bersalin, ketua panitia saya menyarankan saya segera ke hospital.

Tiba di hospital, saya dipantau oleh doktor. Bukaan masih tiada. Saya melalui pelbagai prosedur. Akibat kantung janin sudah bocor, saya disuntik antibiotik agar bayi dalam kandungan saya dijauhi kuman. Saya melalui proses induce buat kali pertama. Saya disuruh berpuasa satu jam sebelum boleh makan apa-apa makanan. Tiada apa-apa kesakitan yang saya rasa selepas dimasukkan ubat tersebut. Pada malamnya, saya di induce lagi sekali.Hanya setengah jam sahaja saya merasai kesakitan dan perut memulas-mulas. Kemudian saya rasa seperti sedia kala dan tiada apa-apa yang berlaku.

Keesokan harinya, doktor memasukkan ubat kali ketiga dan saya perlu berpuasa satu jam seperti semalam. Kali ni, perut saya memulas-mulas dan sakit semakin kerap menerjah. Ya, kali ini saya yakin saat saya melahirkan semakin hampir. Saya segera disorong ke bilik bersalin. Alhamdulillah, sepanjang saya melalui saat getir, suami saya sentiasa disisi. Tidak lama saya di bilik bersalin, saya selamat melahirkan zuriat pertama kami. Akibat terlalu lama kandungan saya dalam air antibiotik, bayi saya perlu dipantau di wad NICU. Saya hanya sempat menatap wajahnya sebentar sahaja.

Malamnya, saya keseorangan. Bayi yang mongel itu, diberi nama 'Isyah Radhiyah. Doa saya agar kehidupan anak saya sentiasa diredhai oleh Allah. Menjadi anak yang solehah, membangun bersama ummah dan berjaya dunia dan akhirat. Ameen ya Rabbal 'alamin.

Hari ini 4.4.2015 genap 4 tahun umur 'Isyah Radhiyah. Saya dah mula menghantarnya ke sekolah untuk belajar berkawan. Alhamdulillah. Banyak doa-doa pendek yang dia selalu ulang bacaannya di rumah. Terima kasih cikgu Pasti at-Taqwa kerana mendidik puteri saya.

2011



Catat Ulasan