Pages

Isnin, 8 September 2014

Tudung oh tudung

Teks : Norazrin Mohd Nor

Sejak dari bangku sekolah menengah saya memakai tudung labuh sebab ianya peraturan sekolah agama. Pada awalnya saya pakai kerana terpaksa. Lama kelamaan saya suka dan selesa dengan tudung labuh sehinggalah alam pekerjaan.

Ketika anak sulung masih kecil, tudung labuh yang saya pakai selalu renyuk tiap kali ke sekolah. Ini kerana sepanjang perjalanan ke rumah pengasuh saya akan menyusukan anak saya. Akhirnya saya jumpa jalan penyelesaian iaitu dengan memakai tudung biasa semasa menghantar anak. Selepas menghantar anak ke rumah pengasuh, saya akan menukar tudung di dalam kereta. Perkara ini berlanjutan sehinggalah anak saya berusia 2 tahun.

Pada tahun 2013 saya telah melahirkan anak yang kedua. Kelahiran anak kedua ini memberi impak kepada saya. Menyusukan bayi sepanjang perjalanan ke rumah pengasuh menyebabkan tudung labuh saya kembali renyuk. Saya cuba mencari alternatif lain selain menukar tudung di dalam kereta. Saya dapati terdapat banyak tudung di pasaran yang menjual tudung saiz xl dan xxl namun harganya kadang-kadang tidak masuk akal bagi saya. Akhirnya saya nekad membeli tudung saiz xl dan xxl secara borong. Biasalah harga borong jauh lebih murah.

Pada hari pertama saya menukar penampilan, hati masih terasa was-was. Bila memikirkan saya tidak perlu menukar tudung di dalam kereta atau perlu pulang ke rumah semula untuk menukar tudung, saya nekad dengan penampilan baru. Pernah juga kawan membeli koleksi tudung borong saya. Lama kelamaan saya seronok berurus niaga seperti ini. Walaupun saya pernah menjual tanpa satu sen pun keuntungan, saya tetap seronok. Bukanlah keuntungan yang dicari tapi kepuasan diri bila melihat kawan-kawan memakai tudung menutup aurat.





Catat Ulasan