Pages

Sabtu, 6 September 2014

Entri Pertama

Bismillahirrahmanirrahim..

Salam perkenalan. Nama saya Norazrin. Saya dibesarkan di Negeri Sembilan dan kini menetap di Muar bersama suami dan anak-anak. Saya merupakan anak seorang guru. Walaupun mempunyai ayah seorang guru, saya tidak pernah mengimpikan kerjaya sebagai seorang guru. Bagi saya, kerjaya ini memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Saya sangat meminati subjek matematik dan bercita-cita menjadi seorang akauntan pada suatu hari nanti.

Tamat pembelajaran sekolah rendah, saya dan kawan-kawan berpakat untuk belajar di sekolah yang sama. Namun takdir Allah menentukan segalanya. Dalam senyap-senyap, ayah telah mendaftarkan saya di sekolah agama. Pada awalnya saya tidak dapat menerima kenyataan yang saya perlu belajar Bahasa Arab dan memakai tudung labuh. Alah bisa tegal biasa. Lama kelamaan saya selesa dengan pembelajaran dan pemakaian saya.

Tamat pembelajaran di peringkat menengah, saya bertekad ingin meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi dalam bidang perakaunan kerana memang itulah impian saya. Namun lagi sekali takdir Allah berbeza dengan keinginan hati. Saya ditawarkan mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Bahasa Arab. Jika ikutkan hati, saya memang tidak mahu mendaftarkan diri mengikuti kursus tersebut. Semasa mendaftarkan diri saya rasakan seolah-olah pergi kerana paksa rela.

Sepanjang pengajian, saya penuhkan masa saya mengikuti majlis-majlis ilmu yang sarat dengan tarbiah. Hanya aktiviti-aktiviti itu yang mengikat hati saya untuk meneruskan pengajian disamping tugasan kursus. Saya disibukkan dengan usrah, pengisian ta'lim mingguan, qiamulail bulanan, aktiviti luar kampus dan sebagainya. Sungguh seronok bila mengingatkan kembali saat-saat itu. Pejam celik pejam celik, alhamdulillah saya telah menamatkan pengajian 2 tahun di matrik dan 4 tahun di kampus induk.

Setelah tamat pengajian, saya mengikuti pogram Madrasatul Hayah (Sekolah Kehidupan) di KERSANI Training Center, Segamat. Ia merupakan pusat motivasi. Akhirnya, saya telah jatuh cinta dengan kehidupan di sana yang penuh dengan tarbiah dan saya telah memohon untuk bekerja di sana. Ketika di KERSANI, saya diajar banyak perkara tentang kehidupan seorang muslim. Dari sekecil-kecil urusan seperti menyediakan makanan untuk peserta sehingga mengendalikan slot bersama peserta kem.

Beberapa bulan bekerja di sana, saya ditawarkan mengikuti kursus KPLI j-QAF. Saya sangat terkejut kerana bila mengingatkan bagaimana cara saya menjawab peperiksaan dan sesi temuduga untuk melayakkan diri mengikuti pogram jQAF. Pada awalnya saya agak keberatan kerana bila memikirkan saya akan menceburkan diri dalam dunia keguruan. Namun, itulah yang Allah tetapkan untuk saya. Saya menerimanya dengan hati yang terbuka. Maka dari detik itulah bermulanya dunia saya sebagai seorang guru. Saya berharap agar saya menjadi murobbi dan dapat mendidik anak bangsa berjaya dunia akhirat. Moga amalan ini menjadi pemberat mizan di akhirat kelak. Amiin

Catat Ulasan