Pages

Jumaat, 12 September 2014

UPSR bocor

Teks : Norazrin Mohd Nor
Foto : Sumber google

Semalam kecoh pasal soalan matapelajaran sains bocor. Pagi ini saya tetap ke pusat peperiksaan seperti biasa. Sungguh tak sanggup melihat wajah anak-anak ini. Mereka hadir ke sekolah dengan penuh pengharapan agar hari ini merupakan hari terakhir mereka menghadapi saat-saat getir peperiksaan. Apabila guru besar mereka memberitahu peperiksaan Sains akan ditunda. Terpancar kesedihan, ketegangan dan rasa tidak puas hati di wajah mereka.

Pada awalnya hati ini pun geram, kecewa, sedih dan macam-macam lagi perasaan yang hadir. Cuba meletakkan diri pada situasi anak-anak ini, ibu bapa mereka dan guru-guru yang bertungkus lumus menyiapkan mereka untuk menghadapi UPSR. Pada malam tadi saya menerima pesanan kawan-kawan melalui aplikasi whasapp. Pesanan ini membuatkan hati redha dan menerima ketentuan Ilahi. Pesanan tersebut berbunyi begini :

Buat semua guru yang amat saya kasihi, kagumi dan hormati. Tenanglah hadapi ujian ini.
Ketenangan anda adalah semangat bagi anak-anak didikmu.

Andai kemarahanmu, kekecewaanmu terus menerus dikau pamerkan, perjuangan yang sudah separuh anak didikmu tempuhi seakan sia-sia. Seakan tidak bermakna.

Kuatlah wahai guru-guru kusayang.

Betapa hancur hatimu kecewa. Betapa jerih yang dikau rasa. Yang pasti dikau sudah berjaya menjadi seorang guru.

Tapi anak-anak didikmu?

Mereka harus terus menerus mengorak langkah menempuh cabaran kehidupan zaman ini demi masa depan  mereka.

Tariklah nafasmu dalam-dalam. Lepaskan segala marah dan dendam. Bentuk dan ciptalah ikhlas yang paling dalam. Demi anak-anak didikmu yang tersayang.

Bangun, bangunlah sebentar dongaklah ke langit. Angkat dan tadahlah tanganmu memohon ampun dan rahmat dari Allah. Hanya perancangan Dia yang terbaik.
Istighfarlah, redhalah, syukurlah dan tawakallah. Pohonlah padaNya, kurniakan hati dan akal yang waras untuk hadapi ujianNya yang sedikit ini. Mudah-mudahan susah tadi beransur senang. Penat tadi beransur sihat walafiat.

Sekali lagi, demi anak-anak didikmu, anak-anak agamamu dan anak-anak bangsamu.

Akhir sekali, tabahlah wahai guru-guruku sayang kerana ketabahanmu adalah kekuatan semangat anak didikmu.

Walahu a'lam.